Wednesday, March 18, 2020

0 Ciri-Ciri Tempat Rekreasi Yang Baik


   Peningkatan kesedaran masyarakat tentang betapa pentingnya mengamalkan budaya hidup sihat telah menjadikan tempat rekreasi sebagai salah satu tempat yang wajib dikunjungi pada waktu lapang. Selain itu, usaha kerajaan  telah mewujubkan tempat-tempat rekreasi yang menarik dan selesa telah menarik minat orang ramai untuk berkunjung.

    Rekreasi bermaksud melakukan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan, melakukan hobi yang boleh meningkatkan kesihatan dan memberi ketenangan. Rekreasi terbahagi kepada dua jenis iaitu rekreasi aktif dan pasif, rekreasi aktif seperti mendaki gunung dan aktiviti-aktiviti lasak yang menguji ketahanan fizikal dan mental. Manakala, rekreasi pasif seperti bersiar-siar dan aktiviti-aktiviti ringan yang mudah dilakukan.

1). Memiliki Kemudahan Fizikal
Ciri-ciri tempat rekreasi yang mempunyai kemudahan fizikal yang baik akan dapat menarik minat orang ramai untuk berkunjung ke tempat tersebut kerana memudahkan pengunjung untuk menyelesaikan urusan-urusan tertentu. Sebagai contoh, kemudahan tandas awam dan bilik air yang bersih, kemudahan tempat wuduk dan solat, banyak tempat rehat yang selesa, kemudahan jalan raya dan tempat letak kereta yang luas.

2). Tempat Rekreasi Yang Selamat
Ciri-ciri tempat rekreasi yang baik juga mestilah mempunyai sistem keselamatan yang terjamin. Pengusaha mestilah menyediakan pengawal keselamatan dan pegawai penguatkuasa undang-undang, menyediakan kamera litar untuk memantau keselamatan pengunjung, menyediakan alat-alat kecemasan dan memastikan persekitaran tempat tersebut tidak berbahaya.

3). Tempat Rekreasi Yang Memiliki Keistimewaan
Keistimewaan yang terdapat pada sebuah tempat rekreasi adalah faktor utama yang akan menarik minat pengunjung.  Sebagai contoh, pemandangan yang cantik dan tempat yang bersih, mempunyai kemudahan rekreasi sesuai untuk semua peringkat umur, menyediakan gerai jualan makanan dan minuman serta cenderamata, dapat melakukan pelbagai aktiviti sukan dan penyelidikan dan juga tempat tersebut menyediakan peralatan rekreasi yang lengkap dan cukup untuk pelbagai aktiviti.

    Kita haruslah menjaga kemudahan tempat rekreasi yang telah disediakan dengan baik supaya kemudahan-kemudahan tersebut dapat digunakan lebih lama dan tidak memudaratkan pengguna lain yang turut sama menggunakan tempat tersebut. Pengguna juga perlu menjaga kebersihan tempat rekreasi supaya aktiviti-aktivit rekreasi dapat dilakukan tanpa ada gangguan yang kurang menyenangkan.


0 comments:

Post a Comment

 

Apresiasi Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates