Thursday, March 12, 2020

0 Perkara-perkara Yang Membatalkan Iman


   Sebelum kita bercerita lebih lanjut tentang perkara-perkara yang membatalkan iman, kita merungkai terlebih dahulu maksud sebenar iman. Iman bermaksud ikhlas membenarkan dengan hati atau yakin dengan kewujudan Allah S.W.T. dalam hati yang diakui dengan lidah dan beramal dengan anggota atau dari segi bahasa iman ialah percaya.

Rukun Iman ada enam(6) perkara;
1.    Beriman kepada Allah.
2.    Beriman kepada Malaikat-Malaikat Allah.
3.    Beriman kepada Kitab Allah.
4.    Beriman kepada Rasul-Rasul Allah.
5.    Beriman kepada Hari Kiamat.
6.    Beriman kepada Qada’ dan Qadar Allah.


1.    Syirik             
   Syirik bermaksud menyekutukan atau menduakan Allah S.W.T. dengan sesuatu makhluk lain. Sebagai contoh, seseorang menyembah patung yang dianggap sebagai Tuhan. Perbuatan syirik boleh dilakukan sama ada dengan perbuatan, perkataan atau dengan hati.

2.    Kufur
   Kufur atau kafir bermaksud seseorang yang tidak beriman dengan Rukun Iman atau Rukun Islam atau kedua-duanya sekali. Terdapat tiga jenis kufur  iaitu kufur akidah, kufur syariat dan kufur akhlak.

3.    Riddah
   Riddah atau murtad bermaksud orang Islam yang keluar dari agama Islam. Riddah berlaku apabila seseorang yang beragama Islam tidak lagi percaya kepada Rukun Iman atau Rukun Islam ataupun kedua-duanya sekali

4.    Khurafat
   Khurafat bermaksud sesuatu kepercayaan atau amalan yang bertentangan dengan syariat dan akidah Islam yang tidak terkandung di dalam Al-Quran, As-Sunnah atau dari mana-mana pendapat ahli ulamak. Antara contoh perbuatan khurafat ialah memuja kubur keramat, mandi safar, penggunaan tangkal azimat dan percaya binatang boleh membawa sial kepada seseorang.

5.    Sihir
   Sihir bermaksud perbuatan ghaib yang dilakukan melalui perantaraan makhluk halus seperti syaitan atau jin. Sihir dilakukan oleh orang fasik atau kafir bertujuan untuk memundaratkan orang lain seperti santau, pukau dan ilmu hitam.

6.    Nifak
   Nifak atau munafik bermaksud berpura-pura beriman kepada Allah S.W.T. tetapi hatinya kufur kepada Allah S.W.T. dan ingkar kepada perintah-Nya. Orang munafik suka berbohong, suka menyeleweng amanah dan suka memungkiri janji.

   Menjaga iman dan menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan iman dapat membentuk jati diri sebagai seorang muslim sejati yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan Negara. Selain itu, akan dapat mewujudkan perpaduan yang hormani di kalangan masyarakat tanpa mengira perbezaan latarbelakang.

                   

0 comments:

Post a Comment

 

Apresiasi Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates