Friday, April 10, 2020

0 Bentuk-bentuk Konflik Pasangan Suami Isteri

 Pelbagai faktor yang boleh menyebabkan berlaku konflik dalam rumahtangga, dalam situasi ini kemahiran untuk menyelesaikan masalah amat penting. Antara penyelesaian masalah yang paling berkesan ialah melalui perbincangan dan belajar daripada orang lain yang berpengalaman. Konflik suami isteri ialah suatu situasi apabila hubungan suami isteri, peranan, komunikasi, sikap, nilai dan reaksi pasangan tidak lagi sejajar. Terdapat tiga bentuk konflik suami isteri.

1.  Nusyuz
      Nusyuz ialah perlakuan derhaka atau ingkar oleh satu pihak sama ada suami atau isteri. Seorang isteri yang tidak mentaati perintah atau tidak memenuhi permintaan suami yang tidak berlanggar dengan hukum syarak dikira nusyuz. Antara contoh perbuatan nusyuz seorang isteri apabila enggan menunaikan tanggungjawab sebagai isteri, meninnggalkan rumah tanpa kebenaran suami, tidak melayan suami dengan baik dan berlaku curang dibelakang suami.

  Seorang suami dikira nusyuz apabila gagal menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami seperti yang telah ditetapkan di dalam syariat Islam. Antara contoh perbuatan nusyuz suami ialah tidak melayani isteri dengan baik, meninggalkan isteri dalam tempoh yang lama tanpa sebarang nafkah, mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak dan juga melakukan kezaliman zahir dan batin terhadap isteri.

2.    Syiqaq
   Syiqaq ialah konflik yang berpunca daripada keburukan kedua-dua belah pihak suami dan isteri. Antara contoh, berlaku konflik syiqaq dalam hubungan suami isteri ialah sering berlaku pertengkaran, saling menyalahkan antara satu sama lain, pukul-memukul dan mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang suami atau sebagai seorang isteri.    

  Terdapat beberapa tindakan yang boleh diambil untuk menyelesaikan konflik syiqaq sekiranya berlaku dalam hubungan suami isteri. Sebagai contoh, melantik orang tengah, seorang dari keluarga suami dan seorang dari keluarga isteri, orang yang dilantik menjadi orang tengah mestilah orang yang boleh dipercaya dan ikhlas bertujuan untuk mendamaikan pasangan suami isteri yang mengalami konflik.

3.    Darar
   Darar ialah penganiayaan fizikal dan mental yang dilakukan oleh suami kepada isteri atau isteri kepada suami. Antara contoh perbuatan darar dari segi fizikal ialah memukul, menampar, menyepak, menendang, memijak dan mengurung. Manakala darar dari segi mental merangkumi perbuatan mengugut, mengungkit, memaki, menghina, mengaibkan dan mengeluarkan kata-kata kesat yang boleh mengguris hati pasangan.

  Terdapat beberapa tindakan yang boleh diambil sekiranya berlaku konflik ini pada suami isteri. Langkah pertama ialah mendapat rawatan dan laporan perubatan di klinik atau hospital, buat laporan polis, membuat aduan di Jabatan Agama Islam Negeri atau Pejabat Agama Islam Daerah, mendapatkan khidmat runding cara keluarga di Jabatan Agama Islam atau Pejabat Agama Islam Daerah (sekiranya serius, kes tersebut boleh difailkan ke Mahkamah Syariah), mendapatkan khidmat guaman Syar’i dan merujuk kes tersebut ke Mahkamah.

  Untuk mengelak dan mengatasi konflik yang dialami oleh suami isteri setiap pasangan perlu melengkapkan diri dengan kemahiran menguruskan konflik agar konflik yang dialami tidak bertambah kritikal sehingga boleh berlaku perceraian. Sekiranya konflik diselesaikan dengan baik masalah tersebut tidak akan meninggalkan kesan buruk bahkan mengeratkan lagi hubungan suami isteri.


0 comments:

Post a Comment

 

Apresiasi Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates