Sunday, April 5, 2020

0 Konsep Mekantilisme Dalam Penjelajahan Dan Campur Tangan Barat


   Mekantilisme adalah satu teori yang dibina pada zaman moden awal di dalam abad ke-16 hingga abad ke-18. Teori ini mula berkurangan pada akhir abad ke-18 kerana kewujudan teori baru. Mekantilisme adalah satu sistem yang dipengaruhi oleh campur tangan kerajaan dalam hal ehwal ekonomi Negara untuk mengukuhkan pengaruh politik.

   Keruntuhan Sistem Feudal di Eropah telah membentuk beberapa Negara bangsa seperti England, Sepanyol, Portugal, Perancis dan Belanda. Berlakunya percantuman bidang politik dan ekonomi adalah disebabkan oleh pembentukan Negara Bangsa dan pembentukan sistem kerajaan berpusat.

   Pasaran ekonomi tunggal di Negara-negara berkenaan pada masa itu dibantu oleh perkembangan sistem perhubungan. Matlamat sektor ekonomi nasional dilaksanakan adalah untuk mengukuhkan kekuasaan politik dan kekuatan ekonomi Negara. Pelaksanaan dasar ekonomi telah menyumbang kepada perkembangan perdagangan, pertanian dan industri di Negara-negara yang terlibat.

   Menurut Abdul Ghapa Harun, terdapat tiga unsur yang terkandung di dalam dasar mekantilisme. Unsur pertama ialah nasionalisme, sebuah Negara perlu membina sistem ekonomi yang tidak bergantung kepada Negara lain. Negara yang mempunyai ekonomi yang kukuh akan dapat mengekalkan kedaulatan Negara, kekuatan politik dan kekayaan ekonomi.

   Paternalisme ialah unsur kedua di dalam dasar mekantilisme di mana kerajaan amat berperanan dalam mengatur ekonomi, politik dan sosial rakyat. Dengan cara ini, kerajaan akan dapat merangka kehidupan rakyat dengan mudah, bersesuai dengan matlamat negara. Antaranya, peraturan tentang perkahwinan, pertumbuhan penduduk, menetapkan harga upah buruh, menetapkan harga barang. Rakyat terpaksa akur dan menerima dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan.

  Unsur ketiga ialah imperialisme. Di dalam unsur ini, sebuah Negara akan menjadikan tanah jajahan sebagai satu kebanggaan. Tanah jajahan berperanan untuk memenuhi keperluan ekonomi Negara induknya dan Negara tersebut akan bebas daripada bergantung kepada Negara lain. Dasar ekonomi yang ketat sangat penting untuk mengawal tanah jajahan agar tidak menjalankan aktiviti perdagangan dengan Negara lain. Kegiatan ekonomi tanah jajahan juga disekat agar tidak menyaingi sektor ekonomi Negara induknya.

   Berapa orang penulis seperti Adam Smith dalam bukunya Whealth Of Nation, Thomas Malthus dan David Ricardo, telah menekankan sumber kekayaan dapat diperolehi melalui pelbagai cara seperti simpanan emas dan perak, tanah, buruh dan modal. Mereka telah mengkritik dasar mekantilisme, bagi mereka semua rakyat perlu menikmati sumber kekayaan Negara. Hal ini, telah menyebabkan dasar mekantilisme berakhir.


0 comments:

Post a Comment

 

Apresiasi Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates