Monday, March 9, 2020

0 Ciri-ciri Mukmin Yang Berjaya


   Menjadi seorang mukmin yang berjaya adalah impian semua orang. Namun, tidak semua orang dapat menjadi seorang mukmin yang berjaya di dunia dan di akhirat. Orang mukmin boleh mencapai kejayaan jika mereka mengamalkan kehidupan cara Islam dan Allah S.W.T. telah menjanjikan kejayaan di dunia dan di akhirat bagi mereka yang beriman. Antara ciri-ciri mukmin yang berjaya ;

1.    Menjaga Waktu Dan Khusyuk Dalam Solat,
   Solat adalah ibadah fardu yang sangat penting dalam kehidupan semua muslim dan menjadi tiang agama. Solat yang khusyuk akan diterima oleh Allah S.W.T. dan beri pahala. Orang yang menjaga waktu dan khusyuk dalam solat akan menjauhkan diri daripada maksiat, hubungannya dengan Allah S.W.T. akan lebih akrab dan dapat membersihkan hati daripada sifat mazmumah.

2.    Mengeluarkan Zakat,
   Mengeluarkan Zakat adalah tuntutan yang wajib dibayar oleh semua umat Islam, mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Pengurusan kutipan dan pembahagian zakat akan diuruskan oleh satu badan yang telah diluluskan. Bayaran zakat akan disalurkan kepada 8 golongan asnaf yang telah dipilih, iaitu Fakir, Miskin, Amil, Muallaf, A-Riqab, Al-Gharimin, Fisabilillah dan Ibnu Sabil.

3.    Menjaga Kehormatan Diri,
   Menjaga kehormatan diri adalah perkara penting yang perlu diambil perhatian serius oleh seorang muslim tidak kira lelaki ataupun perempuan. Menjaga kehormatan diri termasuklah menjaga pergaulan, menjaga cara berpakaian dan berusaha menjauhkan diri daripada perbuatan-perbuatan maksiat.

4.    Menjaga Amanah Dan Menepati Janji.
   Menjaga amanah dan menepati janji adalah perkara yang sangat dituntut dalam Islam kerana akan melibatkan soal kepercayaan, apabila kepercayaan seseorang itu telah dikhianati amat sukar untuk mengembalikan kepercayaan tersebut. Dengan itu, kita haruslah sentiasa amanah kepada Allah S.W.T., diri sendiri dan orang lain.

  Jika kita bersungguh-sungguh mempraktikkan amalan-amalan baik mengikut hukum syarak, Allah S.W.T. akan permudahkan urusan dan murahkan rezeki kita untuk mencapai kejayaan yang diimpikan, dengan usaha, tawakal dan diiringi doa.

0 comments:

Post a Comment

 

Apresiasi Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates