Friday, April 10, 2020

0 Bentuk-bentuk Konflik Pasangan Suami Isteri

 Pelbagai faktor yang boleh menyebabkan berlaku konflik dalam rumahtangga, dalam situasi ini kemahiran untuk menyelesaikan masalah amat penting. Antara penyelesaian masalah yang paling berkesan ialah melalui perbincangan dan belajar daripada orang lain yang berpengalaman. Konflik suami isteri ialah suatu situasi apabila hubungan suami isteri, peranan, komunikasi, sikap, nilai dan reaksi pasangan tidak lagi sejajar. Terdapat tiga bentuk konflik suami isteri.

1.  Nusyuz
      Nusyuz ialah perlakuan derhaka atau ingkar oleh satu pihak sama ada suami atau isteri. Seorang isteri yang tidak mentaati perintah atau tidak memenuhi permintaan suami yang tidak berlanggar dengan hukum syarak dikira nusyuz. Antara contoh perbuatan nusyuz seorang isteri apabila enggan menunaikan tanggungjawab sebagai isteri, meninnggalkan rumah tanpa kebenaran suami, tidak melayan suami dengan baik dan berlaku curang dibelakang suami.

  Seorang suami dikira nusyuz apabila gagal menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami seperti yang telah ditetapkan di dalam syariat Islam. Antara contoh perbuatan nusyuz suami ialah tidak melayani isteri dengan baik, meninggalkan isteri dalam tempoh yang lama tanpa sebarang nafkah, mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak dan juga melakukan kezaliman zahir dan batin terhadap isteri.

2.    Syiqaq
   Syiqaq ialah konflik yang berpunca daripada keburukan kedua-dua belah pihak suami dan isteri. Antara contoh, berlaku konflik syiqaq dalam hubungan suami isteri ialah sering berlaku pertengkaran, saling menyalahkan antara satu sama lain, pukul-memukul dan mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang suami atau sebagai seorang isteri.    

  Terdapat beberapa tindakan yang boleh diambil untuk menyelesaikan konflik syiqaq sekiranya berlaku dalam hubungan suami isteri. Sebagai contoh, melantik orang tengah, seorang dari keluarga suami dan seorang dari keluarga isteri, orang yang dilantik menjadi orang tengah mestilah orang yang boleh dipercaya dan ikhlas bertujuan untuk mendamaikan pasangan suami isteri yang mengalami konflik.

3.    Darar
   Darar ialah penganiayaan fizikal dan mental yang dilakukan oleh suami kepada isteri atau isteri kepada suami. Antara contoh perbuatan darar dari segi fizikal ialah memukul, menampar, menyepak, menendang, memijak dan mengurung. Manakala darar dari segi mental merangkumi perbuatan mengugut, mengungkit, memaki, menghina, mengaibkan dan mengeluarkan kata-kata kesat yang boleh mengguris hati pasangan.

  Terdapat beberapa tindakan yang boleh diambil sekiranya berlaku konflik ini pada suami isteri. Langkah pertama ialah mendapat rawatan dan laporan perubatan di klinik atau hospital, buat laporan polis, membuat aduan di Jabatan Agama Islam Negeri atau Pejabat Agama Islam Daerah, mendapatkan khidmat runding cara keluarga di Jabatan Agama Islam atau Pejabat Agama Islam Daerah (sekiranya serius, kes tersebut boleh difailkan ke Mahkamah Syariah), mendapatkan khidmat guaman Syar’i dan merujuk kes tersebut ke Mahkamah.

  Untuk mengelak dan mengatasi konflik yang dialami oleh suami isteri setiap pasangan perlu melengkapkan diri dengan kemahiran menguruskan konflik agar konflik yang dialami tidak bertambah kritikal sehingga boleh berlaku perceraian. Sekiranya konflik diselesaikan dengan baik masalah tersebut tidak akan meninggalkan kesan buruk bahkan mengeratkan lagi hubungan suami isteri.


Sunday, April 5, 2020

0 Konsep Mekantilisme Dalam Penjelajahan Dan Campur Tangan Barat


   Mekantilisme adalah satu teori yang dibina pada zaman moden awal di dalam abad ke-16 hingga abad ke-18. Teori ini mula berkurangan pada akhir abad ke-18 kerana kewujudan teori baru. Mekantilisme adalah satu sistem yang dipengaruhi oleh campur tangan kerajaan dalam hal ehwal ekonomi Negara untuk mengukuhkan pengaruh politik.

   Keruntuhan Sistem Feudal di Eropah telah membentuk beberapa Negara bangsa seperti England, Sepanyol, Portugal, Perancis dan Belanda. Berlakunya percantuman bidang politik dan ekonomi adalah disebabkan oleh pembentukan Negara Bangsa dan pembentukan sistem kerajaan berpusat.

   Pasaran ekonomi tunggal di Negara-negara berkenaan pada masa itu dibantu oleh perkembangan sistem perhubungan. Matlamat sektor ekonomi nasional dilaksanakan adalah untuk mengukuhkan kekuasaan politik dan kekuatan ekonomi Negara. Pelaksanaan dasar ekonomi telah menyumbang kepada perkembangan perdagangan, pertanian dan industri di Negara-negara yang terlibat.

   Menurut Abdul Ghapa Harun, terdapat tiga unsur yang terkandung di dalam dasar mekantilisme. Unsur pertama ialah nasionalisme, sebuah Negara perlu membina sistem ekonomi yang tidak bergantung kepada Negara lain. Negara yang mempunyai ekonomi yang kukuh akan dapat mengekalkan kedaulatan Negara, kekuatan politik dan kekayaan ekonomi.

   Paternalisme ialah unsur kedua di dalam dasar mekantilisme di mana kerajaan amat berperanan dalam mengatur ekonomi, politik dan sosial rakyat. Dengan cara ini, kerajaan akan dapat merangka kehidupan rakyat dengan mudah, bersesuai dengan matlamat negara. Antaranya, peraturan tentang perkahwinan, pertumbuhan penduduk, menetapkan harga upah buruh, menetapkan harga barang. Rakyat terpaksa akur dan menerima dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan.

  Unsur ketiga ialah imperialisme. Di dalam unsur ini, sebuah Negara akan menjadikan tanah jajahan sebagai satu kebanggaan. Tanah jajahan berperanan untuk memenuhi keperluan ekonomi Negara induknya dan Negara tersebut akan bebas daripada bergantung kepada Negara lain. Dasar ekonomi yang ketat sangat penting untuk mengawal tanah jajahan agar tidak menjalankan aktiviti perdagangan dengan Negara lain. Kegiatan ekonomi tanah jajahan juga disekat agar tidak menyaingi sektor ekonomi Negara induknya.

   Berapa orang penulis seperti Adam Smith dalam bukunya Whealth Of Nation, Thomas Malthus dan David Ricardo, telah menekankan sumber kekayaan dapat diperolehi melalui pelbagai cara seperti simpanan emas dan perak, tanah, buruh dan modal. Mereka telah mengkritik dasar mekantilisme, bagi mereka semua rakyat perlu menikmati sumber kekayaan Negara. Hal ini, telah menyebabkan dasar mekantilisme berakhir.


Tuesday, March 31, 2020

0 Kepentingan Menggunakan Akal Ketika Berfikir.

   Manusia mestilah menggunakan akal fikiran untuk mencapai sesuatu kejayaan dalam hidup. Al-Quran juga telah menggesa manusia untuk berfikir tentang kejadian alam semesta untuk membuktikan kewujudan Allah S.W.T. dan tentang nikmat tidak terhingga yang Allah S.W.T. berikan kepada makhluk-Nya. Fenomena alam juga dapat membuktikan kekuasaan Allah S.W.T. yang dinamakan Sunnatullah yang berkuasa mengatur alam.

   Menggunakan akal ketika berfikir dapat membuktikan kejadian manusia berbeza dengan kejadian makhluk lain yang ada di muka bumi ini, kelebihan akal yang ada pada manusia tetapi tidak diberikan kepada makhluk lain. Maka dengan itu, manusia mestilah menjaga dan menggunakan kelebihan akal yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. dengan sebaiknya.

  Allah S.W.T. telah menyebut berulang-ulang kali di dalam Al-Quran tentang penggunaan akal ketika berfikir, ini bermakna umat Islam amat digalakkan menggunakan akal semasa berfikir untuk menggelak individu tersebut membuat keputusan dan mengambil tindakkan yang melulu dan boleh mendatangkan kesan buruk kepada individu atau masyarakat.

   Menggunakan nikmat akal yang sempurna dengan baik akan dapat meningkatkan keimanan seseorang dan akan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.. Penggunaan akal dengan baik akan dapat membimbing manusia ke arah kebaikan di dunia dan di akhirat. Akal boleh digunakan untuk memikirkan fenomena alam yang membuktikan kekuasaan Allah S.W.T. dan sekaligus akan dapat meningkatkan keimanan seseorang.

   Jika digabungkan akal dan fizikal manusia untuk digunakan ke arah kebaikan akan dapat menghasilkan sesuatu pencapaian yang baik dengan usaha gigih individu tersebut. Hal ini kerana Islam amat menggalakkan umatnya berfikir dan berusaha untuk mencapai kejayaan dalam hidup dan seterusnya mendapat kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

   Manusia dilantik menjadi khalifah di muka bumi ini kerana manusia mempunyai akal yang tidak dikurniakan kepada makhluk lain. Akal manusia mampu mengendalikan, mengatur dan mentadbir dunia dengan baik. Seorang khalifah yang baik adalah khalifah yang beriman kepada Allah S.W.T. dan menjadi khalifah yang patuh pada syariat Islam.

   Penggunaan akal fikiran dengan baik akan membolehkan manusia menguasai dunia dengan pelbagai pencapaian yang membanggakan. Banyak garis panduan untuk mencapai kejayaan yang terkandung di dalam Al-Quran yang boleh digunakan oleh umat Islam.



Sunday, March 29, 2020

0 Garis Panduan Dan Adab Berfikir Dalam Kehidupan


   Berfikir ialah menggunakan akal untuk memahami atau menyelesaikan sesuatu masalah berdasarkan ilmu yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T.. Berfikir menggunakan akal dan ilmu akan memudahkan seseorang untuk menemukan jalan penyelesaian sebenar dalam sesuatu perkara. Umat Islam juga dilarang menggunakan akal yang boleh menyesatkan akhlak dan akidah seseorang.

Di dalam garis panduan dan adab berfikir, kemampuan akal untuk berfikir adalah terbatas kepada perkara-pekara yang telah diwahyukan dan terdapat di dalam syariat Islam. Kita tidak boleh menggunakan akal untuk memikirkan perkara-perkara ghaib yang telah dijelaskan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

   Manusia hanya mampu memikirkan beberapa aspek mengenai sifat sesuatu perkara yang terdapat di muka bumi ini, seperti penentuan sifat baik atau buruk, bersih atau kotor, cantik atau hodoh dan sebagainya. Manusia tidak boleh berfikir sesuatu yang boleh yang dilarang dalam Islam sehingga boleh mendekatkan diri kepada perkara-perkara maksiat dan perbuatan zalim.

   Kadangkala, akal manusia boleh mencapai kejayaan melalui kajian-kajian tentang saintifik tetapi terdapat beberapa pencapaian sains kebenarannya hanya seketika dan pendapat tentang pencapaian itu boleh berubah pada bila-bila masa mengikut teori dan kepakaran seseorang atau teknologi yang digunakan.

   Di samping itu, dalam garis panduan dan adab berfikir, kita haruslah berfikir dengan berpandukan maklumat yang benar dan fakta yang tepat untuk membuat pilihan dan keputusan yang benar mengenai sesuatu perkara. Maklumat yang benar dan fakta yang tepat dapat mengelak daripada berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini, seperti pergaduhan atau percanggahan pendapat yang serius.

    Sebagai manusia kita mempunyai keistimewaan boleh berfikir  untuk merancang dan mengatur strategik untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan. Dengan  rancangan dan strategik yang mantap kita lebih fokus dan lebih mudah melakukan tindakan untuk mencapai sesuatu kejayaan yang diinginkan.

   Maka dengan itu, kelebihan akal yang dikurniakan olah Allah S.W.T. perlu dijaga dan digunakan sebaiknya berpandukan ilmu dan iman sebagai seorang mukmin  yang sempurna buah fikirannya. Banyak faedah sekiranya akal digunakan pada perkara-perkara yang bermanfaat.

Friday, March 27, 2020

0 Hikmat Manusia Diberi Kesusahan Dan Penderitaan Oleh Allah S.W.T.

   Semua manusia yang hidup di muka bumi ini pasti pernah merasa kesusahan dan penderitaan dalam hidup. Tidak kira berapa banyak harta dan betapa besar keluarganya kerana setiap apa yang kita miliki itu adalah satu bentuk ujian Allah S.W.T. kepada hamba-hamba yang beriman. Terdapat beberapa hikmat kenapa Allah S.W.T. memberi kesusahan dan penderitaan kepada hamba-hamba-Nya.

   Kesusahan dan penderitaan yang diberikan oleh Allah S.W.T. adalah untuk mengajar manusia supaya sentiasa mengingati Allah S.W.T. dan mendekati diri kepada Allah S.W.T. dengan cara menunaikan perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya dan juga mengajar manusia untuk mengenal kebesaran Allah S.W.T..

   Kesusahan dan penderitaan yang diberikan oleh Allah S.W.T. kepada manusia adalah satu bentuk ujian Allah S.W.T. kepada semua makhluk yang Dia sayangi. Allah S.W.T. akan memberikan pahala berlipat ganda kepada mereka yang sabar dengan ujian Allah S.W.T..

   Di samping itu, supaya manusia mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. dan memohon pertolongan dan petunjuk daripada Allah S.W.T. sebagai tempat permohonan yang mutlak, kerana setiap apa yang berlaku adalah kehendak dan dengan izin Allah S.W.T. kita sebagai manusia hanya mampu merancang, berusaha, berdoa dan tawakal.

   Kesusahan dan penderitaan yang kita alami akan mengajar kita banyak perkara yang boleh dijadikan sebagai pengajaran dalam menempuhi hari-hari yang akan datang. Dengan kesusahan dan penderitaan yang pernah dialami akan memberi peluang kepada manusia untuk berusaha mencapai kebahagian hidup di dunia dan seterusnya untuk bekalan akhirat.

   Selain itu, kesusahan dan penderitaan juga adalah sebagai pembalasan daripada Allah S.W.T. kepada hamba-hamba-Nya yang ingkar, meninggalkan ajaran Islam dengan sengaja dan mereka yang melakukan maksiat secara berterusan tanpa ada rasa takut dan berdosa. Bala yang diturunkan oleh Allah S.W.T. tidak hanya menimpa individu tersebut tetapi akan menimpa seluruh hamba-Nya.

   Sebagai manusia yang kerdil dan tidak lari dari melakukan dosa, kita haruslah berusaha memperbaiki diri dan keluarga agar kita terhindar dari pembalasan Allah S.W.T.. Lapangkan dada untuk menerima kesusahan dan penderitaan Allah S.W.T. dengan memikirkan hikmah yang dititipkan oleh Allah S.W.T. disebalik ujian-ujian-Nya.

Thursday, March 26, 2020

0 Ciri-Ciri Pasangan Yang Baik


   Pemilihan pasangan hidup adalah aspek yang paling penting dan perlu dititikberatkan agar ikatan rumahtangga dapat berkekalan hingga ke akhirat hayat. Seorang bakal suami atau bakal isteri hendaklah memiliki ciri-ciri yang baik sepertimana yang terdapat dalam garis panduan pemilihan pasangan hidup sebagai seorang muslim.

Ciri-ciri bakal suami yang baik;
*        Beriman dan bertakwa kepada Allah S.W.T..
*        Bertanggungjawab kepada semua perkara.
*        Mempunyai ilmu agama dan boleh membimbing pasangan
      ke arah kebaikan.
*        Berakhlak mulia dan terpuji.
*        Sihat mental dan fizikal.
*        Rajin berusaha untuk kebaikan keluarga atau rumahtangga.

Ciri-ciri bakal isteri yang baik;
*        Solehah dan beriman kepada Allah S.W.T..
*        Mempunyai rupa paras yang cantik dan elok.
*        Berakhlak mulia dan terpuji sebagai seorang muslimah.
*        Seorang wanita yang boleh melahirkan zuriat.
*        Masih dara atau perawan.
*        Wanita yang berasal daripada keturunan yang baik.
*        Bukan dari keturunan atau keluarga terdekat.
*        Menentukan kadar mas kahwin yang rendah.

   Ada banyak cara untuk membuat pilihan pasangan hidup, sama ada pilihan sendiri atau pilihan keluarga. Namun, setiap perkahwinan perlu mendapat restu daripada ibu bapa kedua-dua belah pihak dan persetujuan pasangan tersebut, untuk mengelak berlaku masalah atau kesulitan pada kemudian hari.


Wednesday, March 25, 2020

0 Tiga Bidang Utama Tanggungjawab Manusia


   Setiap makhluk Allah S.W.T. yang hidup di muka ini masing-masing mempunyai tanggungjawab yang perlu dipikul. Begitu juga dengan kita sebagai seorang mukmin telah diberi tanggungjawab untuk dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Tanggungjawab seorang mukmin bukan hanya untuk diri sendiri atau keluarga tetapi menyeluruh, sama ada berkaitan manusia sesama manusia atau manusia sesama makhluk Allah S.W.T. yang lain.

1.  Al-Ibadat
  Bidang tanggungjawab manusia yang pertama ialah Al-Ibadat. Setiap manusia wajib mengabdikan diri kepada Maha Pencipta dengan melaksanakan perintah ibadat umum dan ibadat khusus yang telah dipertanggungjawabkan ke atas seorang mukmin.

2Al-Khilafah
  Bidang tanggungjawab manusia yang kedua ialah Al-Khilafah yang bermaksud mewujudkan kekuasaan dan membina kekuatan untuk menjalankan amanah Allah S.W.T. dan mentadbir sesebuah kerajaan berlandaskan prinsip pengabdian kepada-Nya dan mengikut undang-undang Islam.

3. Al-Imarah
  Bidang tanggungjawab manusia yang ketiga ialah Al-Imarah. Sebagai seorang khalifah yang bertanggungjawab  mesti membina pembangunan dan mewujudkan prasana yang bermanfaat untuk kegunaan atau kemudahan rakyat agar dapat membentuk Negara yang maju dan makmur.

  Sesiapa sahaja bertanggungjawab untuk mencapai kecemerlangan diri sendiri, keluarga, agama dan Negara tanpa mengira kedudukan dan latarbelakang. Setiap manusia berhak untuk mendapat kebahagiaan dan kejayaan yang mereka impikan asalkan tidak melanggar hukum syarak dan tidak menindas orang lain.

 

Apresiasi Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates