Friday, February 28, 2020

0 10 DOA PEMBUKA REZEKI

   Setiap manusia yang hidup di muka bumi ini mengharapkan rezeki yang melimpah untuk memenuhi keperluan dan kehendak masing-masing. Rezeki tidak hanya nilai matawang dan harta mewah yang banyak, anak-anak, keluarga, kesihatan, kerjaya dan sesuatu yang bermanfaat juga adalah satu bentuk rezeki kurnian Allah Taala.

   Untuk umat Islam terdapat beberapa doa dan amalan yang dijadikan sebagai panduan atau cara untuk menjemput rezeki yang berkat. Sepertimana firman Allah S.W.T.

“ Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku akan perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk ke neraka jahaman dalam keadaan hina”.


1.      Doa Pembuka Pintu Rezeki :
 “Ya Allah sesungguhnya hamba berpagi hari dari-Mu dalam kenikmatan, kesihatan dan perlindungan. Maka sempurnalah untukku kenikmatan, kesihatan dan perlindungan-Mu itu di dunia dan di akhirat.”
( 3 kali setiap pagi )

2.      Doa Memohon Rezeki yang Melimpah :
 “Ya Allah, ampunilah hamba, kasihilah hamba, bimbinglah hamba, sejahteralah hamba dan berikanlah hamba rezeki.”
(HR. Muslim daripada Tariq bin Asyim)

3.      Doa Memohon Rezeki yang Halal :
“Ya Allah, cukuplah hamba dengan rezeki yang halal dari-Mu, jauhkanlah hamba dari rezeki yang telah Engkau haramkan dan berikanlah hamba kekayaan dengan anugerah-Mu, bukan selain dari-Mu.”
(HR. Tirmizi dari Ali)

4.      Doa Ditimpa Kesusahan Hidup dan Susah Mendapat Rezeki :
“Ya Allah, tiada satu kemudahan, melainkan jika Engkau jadikan mudah, dan dengan kehendak-Mu sesuatu yang sukar itu menjadi mudah.”
(HR. Ibnu Sani dari Anas)

5.      Doa Mendapat Kesempurnaan Rezeki :
“Ya Allah, hamba memohon kepada-Mu kesempurnaan nikmat pada segala perkara dan mensyukuri-Mu atasnya, sehingga Engkau redha dan sesudah redha lalu hamba memohon kepada-Mu supaya memilih segala apa yang boleh dipilih dengan segala kemudahannya, bukan yang sukar lagi susah dilakukan. Wahai Tuhan yang Maha Mulia.”

6.      Doa Meminta Pertolongan Rezeki pada Allah :
“Maha Suci Allah Yang Maha Agung, Ya Tuhan yang hidup dan selalu mengawasi, hamba memohon pertolongan dengan rahmat-Mu.”
(HR. Abu Dawud)

7.      Doa Memohon Rezeki yang Baik :
“Ya Allah, sesungguhnya hamba memohon kepada-Mu ilmu yang berguna, amal yang diterima dan rezeki yang halal lagi baik.”
(HR. Ahmad, Ibnu Majah dan Ibn Sani)

8.      Doa Memohon Kekayaan dan Soleh :
“Ya Allah, sesungguhnya hamba memohon kepada-Mu akan hidayah, ketakwaan, soleh dan kekayaan.”
(HR. Muslim dari Ibn Mas’ud)

9.      Doa agar Terhindar daripada Hilang Rezeki :
“Ya Allah, sesungguhnya hamba berlindung kepada-Mu dari hilangnya nikmat-Mu, berubahnya kebaikan-Mu, siksaan-mu tiba-tiba muncul dan semua kemurkaan-Mu.”
(HR. Muslim dari Ibnu Umar)


10.  Doa Mendapat Rezeki yang Tidak Putus :
“Ya Allah, sesungguhnya hamba memohon kepada-Mu nikmat yang kekal, yang tidak berpindah dan hilang. Ya Allah, sesungguhnya hamba memohon kepada-Mu keamanan pada hari ketakutan. Ya Allah, hamba berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang Engkau berikan dari kejahatan yang tidak Engkau berikan kepadaku.”

  Orang yang sentiasa berdoa kepada Allah akan berasa tenang. Allah S.W.T. juga menyayangi dan menyukai hamba-hamba-Nya yang selalu berdoa untuk meminta sesuatu dari-Nya. Allah S.W.T. Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, akan melimpahkan lagi nikmat bagi hamba-hamba-Nya yang selalu bersyukur.

0 Adab Berniaga Yang Diberkati

   Berniaga atau berjual beli ialah pertukaran harta dengan harta atau gantian mata wang mengikut syarat-syarat tertentu. Harta tersebut mestilah mempunyai nilai mengikut hukum syarak dan boleh dimanfaatkan.

   Islam telah mensyariatkan dan Allah S.W.T. memberikan pahala jika peniaga jujur dalam perniagaan. Berniaga adalah satu amalan muamalah yang telah dijalankan sejak berkurun lamanya. Jual beli pada masa dahulu dilakukan dengan cara pertukaran barang dengan barang (sistem barter) dan tidak menggunakan nilai mata wang seperti sekarang. Terdapat beberapa adab untuk memudahkan urusan perniagaan ;

Adab peniaga kepada pembeli :
   Peniaga mestilah berniaga dengan jujur, amanah dan tiada unsur penipuan yang boleh menindas pembeli. Seorang peniaga mestilah memiliki rasa ihsan kepada pembeli dan tidak hanya pentingkan keuntungan semata-mata. Peniaga Islam tidak berniaga dengan cara yang ditegah oleh Islam seperti menipu sukatan, timbangan dan ukuran. Seorang peniaga mestilah berniaga bersungguh-sungguh dan tekun dengan kerelaan hati dan juga sentiasa berusaha untuk mencapai matlamat perniagaannya.

Adab pembeli ketika berjual beli :
   Sebagai seorang pembeli kita juga mesti ada sikap toleransi, membeli dengan ikhlas dan tidak mempermainkan peniaga. Benar-benar ingin membeli dan tidak menawar harga yang tidak patut sehingga menimbulkan kemarahan dan merugikan peniaga. Selain itu, pembeli membeli barang adalah atas keperluan bersama bukan kerana simpati atau terpaksa.

Adab peniaga dan pembeli dalam urusan jual beli :
   Urusan jual beli antara peniaga dan pembeli mestilah mempunyai sifat tolak ansur untuk memudahkan urusan semasa proses jual beli diadakan. Pembeli berhak membuat pilihan yang sesuai asalkan tidak menyusahkan pihak peniaga. Semasa urusan jual beli diadakan, peniaga dan pembeli hendaklah menjaga kepentingan bersama supaya tidak timbul penyesalan dan kedua-dua pihak berpuas hati dalam urusan tersebut. Selain itu, peniaga dan pembeli mestilah mengadakan lafaz ijab dan kabul, iaitu persetujuan memberi dan menerima.

   Kejujuran dan keikhlasan dalam urusan jual beli adalah dituntut oleh Allah S.W.T. dan peniaga akan mendapat keberkatan dalam menjalankan perniagaan yang mengikut syariat Islam. Perniagaan juga adalah salah satu sumber yang menyumbang kepada peningkatan ekonomi Negara.


0 Adab Berhias Diri


  Berhias diri dalam Islam bermaksud menjaga diri dari segi zahiriah dan batiniah. Islam amat menuntut umatnya supaya berhias diri pada zahir dan batin.

  Adab berhias diri pada zahiriah seseorang adalah amat penting dalam kehidupan kita seharian-harian. Adab berhias diri pada zahiriah terdiri daripada menjaga kebersihan dan keselamatan fizikal. Menjaga cara berpakaian sebagai seorang muslim, berpakaian sopan yang tidak menjolokkan mata dan sentiasa dalam keadaan bersih. 

  Islam juga menggalakkan umatnya memakai wangi-wangian yang harum dan sederhana, bau yang tidak menyenangkan atau wangi-wangian yang berlebih boleh mengganggu orang sekeliling. Perempuan muslim juga dibolehkan memakai perhiasan yang diperbuat daripada emas, perak, berlian, permata dan sebagainya yang dibenarkan oleh hukum syarak.

  Adab berhias diri secara batiniah pula lebih kepada menjaga kebersihan dalaman, seperti menjaga kebersihan jiwa, salah satu cara membersihkan jiwa ialah dengan memperbanyakkan berzikir dan menunaikan ibadat fardu dengan istiqomah.

  Penjagaan akhlak dengan memiliki sifat-sifat mahmudah termasuklah mempunyai perangai atau tingkahlaku yang baik juga adalah amat penting kerana seseorang yang berakhlak baik akan disenangi dan disayangi oleh orang ramai. Selain itu, banyak perkara-perkara yang tidak diingini dapat dielakkan sama ada melibatkan manusia sesama manusia atau manusia sesama makhluk lain.

  Di samping keghairahan menghiasi diri terdapat cara berhias diri yang dilarang dalam Islam. Antaranya, kaum lelaki dilarang memakai emas seperti cincin, gelang, rantai dan sejenis denganya. Kaum lelaki juga dilarang memakai sesuatu yang diperbuat daripada kain sutera.

  Memakai pakaian yang menyerupai jantina lain dan mengubah anggota badan asal untuk tujuan kecantikan yang menjadi budaya pada kini, sebagai contoh wanita memakai pakaian menyerupai lelaki atau lelaki memakai pakaian yang menyerupai wanita. Menyambung rambut atau memakai rambut palsu juga adalah cara berhias diri yang dilarang dalam Islam.

  Budaya mewarnakan rambut juga adalah satu budaya yang semakin popular di kalangan anak-anak muda pada kini dan Islam melarang umatnya mewarnakan rambut menggunakan pewarna-pewarna yang mengandungi bahan-bahan yang terlarang. Namun, pada masa kini sudah banyak pewarna-pewarna rambut dijual di pasaran yang diperbuat daripada bahan-bahan semulajadi dan halal untuk digunakan.

  Memang sudah fitrah semulajadi manusia suka pada keindahan dan kecantikan, namun berhias diri hendaklah bersesuaian dengan ketetapan hukum syarak. Tidak berhias diri secara berlebihan dan melampaui batas sehingga boleh menjejaskan kesihatan dan hendaklah bersesuai dengan kemampuan kewangan.

Thursday, February 27, 2020

0 Keindahan Pulau Tiga @ Pulau Simmamuak.

Melancong atau melawat sesuatu kawasan dapat memberi satu pengalaman yang amat berharga dan menyeronokkan kepada seseorang individu. Tidak kira sama ada melancong di dalam atau di luar Negara. Di Negara kita sendiri ada banyak tempat pelancongan menarik yang menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.

Salah satu tarikan pelancong paling utama ialah pemandangan yang menarik, seterusnya kemudahan pengangkutaan, kemudahan penginapan dan tempat makan yang menyelerakan. Namun, masih ada lagi tempat-tempat menarik yang masih tidak mendapat perhatian atau tidak dikenali oleh orang ramai. Oleh kerana, tiada kemudahan pelancongan di kawasan tersebut.

Sebagai contoh, Pulau Tiga atau lebih dikenali sebagai Pulau Simmamuak oleh masyarakat setempat, pulau ini terletak di antara Pulau Banggi dan  Pulau Balambangan Kudat, Sabah. Pulau ini bersaiz kecil sahaja dan kedudukannya agak terpencil.

Sumber Google Map (Pulau tersebut tiada dalam Map:anggaran kedudukan sahaja

Pulau Simmamuak ini sekarang tidak berpenghuni tetapi pernah menjadi kawasan penempatan pada suatu ketika dahulu. Dijadikan kawasan penempatan oleh para nelayan kerana pulau ini strategik dan mempunyai sumber laut yang banyak. Penduduk yang pernah mendiami pulau ini telah berpindah ke kawasan yang berhampiran seperti Pulau Banggi dan Kudat.


Sudut pandang dari Pulau Banggi.

Perahu atau kapal nelayan adalah pengangkutan utama yang digunakan untuk berkunjung ke pulau ini. Tiada kemudahan pengangkutan khas atau penginapan yang disediakan, seperti mana yang terdapat di pulau-pulau pelancongan lain di Negeri Sabah.


Pulau Simmamuak ini masih kaya dengan hidupan marin dan salah satu kawasan menjadi tumpuan para nelayan dari kawasan yang berhampiran untuk mendapatkan hasil tangkapan. Pulau ini juga menjadi kawasan persinggahan para nelayan semasa keadaan laut bergelora.

Kawasan pulau  ini bersih secara semulajadi. Tiada jawatankuasa khas yang bertanggungjawab membersihkan kawasan pulau ini. Salah satu faktor pulau ini selalu dalam keadaan bersih, kerana jauh dari kawasan penempatan dan jarang dikunjungi.

Waktu yang paling sesuai berkunjung ke sini adalah pada musim air surut. Batu-batu dan pasir putih yang mengelilingi pulau ini akan kelihatan semasa air surut. Batu dan pasir putih di sekitar pulau ini akan menampakkan lagi keindahan pulau ini. Selain itu, banyak aktiviti yang dapat dilakukan di sekitar pulau pada masa tersebut.

Keindahan Pulau Simmamuak ini akan memberi kepuasan dan pengalaman yang amat berharga kepada mereka yang berkunjung ke sini. Pemandangan semulajadi dan suasana tenang di sini, amat sesuai dijadikan sebagai destinasi untuk menenangkan fikiran sambil menikmati keindahan ciptaan Tuhan..
               






0 Tanggungjawab Anak Kepada Ibu Bapa

   Islam amat memandang berat tentang kebajikan ibu bapa. Menghormati ibu bapa adalah sangat penting selepas memuliakan Allah S.W.T. dan para Rasul-Nya. Oleh kerana, tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh ibu bapa untuk menjaga dan membesarkan anak-anak sangatlah berat.

   Banyak perkara yang boleh dilakukan untuk berbakti atau berbuat baik kepada ibu bapa. Antaranya ialah menghormati dan memuliakan ibu bapa setiap masa. Menghormati ibu bapa termasuklah menjaga tingkahlaku dan percakapan dengan ibu bapa.

  Menjaga maruah ibu bapa dan tidak melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah ibu bapa dan keluarga seperti terlibat dengan pergaulan bebas antara lelaki dengan perempuan, terlibat dengan kes-kes jenayah. Ramai anak-anak muda pada kini terlibat dengan budaya tidak sihat tanpa memikirkan kesan buruk perbuatan mereka.

   Mentaati dan mendengar nasihat ibu bapa selagi tidak melanggar hukum syarak. Ibu bapa adalah orang paling dekat dan penasihat yang paling setia kepada anak-anak. Mereka tidak akan pernah berasa jemuh dan penat untuk menasihati anak-anak untuk kebaikan masa depan.

   Apabila usia ibu bapa makin senja kudrat mereka akan semakin berkurangan. Banyak aktiviti harian mereka terpaksa meminta pertolongan daripada orang terdekat terutama anak-anak. Ramai ibu bapa yang sudah tua hilang punca pendapatan kerana kudrat mereka tidak lagi mampu untuk bekerja dan terpaksa mengharapkan ihsan daripada anak-anak. Anak-anak akan bertanggungjawab menjaga mereka dengan baik sebagai tanda berterima kasih dan mengenang jasa mereka.

   Menjaga ibu bapa dengan baik akan mendapat balasan baik dari Allah S.W.T. dan mendapat keberkatan hidup sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak. Walaupun, sibuk dengan urusan mencari rezeki dan menunaikan tanggungjawab menjaga ibu bapa, hidup akan lebih tenang dan lebih bahagia. Selain itu, anak-anak yang berkorban untuk menjaga ibu bapa akan dihormati dan dicontohi oleh masyarakat.

   Anak yang ingkar dengan perintah dan derhaka kepada ibu bapa akan mendapat balasan buruk di dunia dan akan diazab di akhirat. Selain itu akan dipandang hina oleh masyarakat sekeliling.

Friday, February 21, 2020

0 Khasiat Buah Durian Belanda Untuk Kesihatan



                
  (Buah Durian Belanda Pramatang)              (Buah Durian Belanda sudah Matang)

    Buah Durian Belanda adalah salah satu jenis buah yang semakin popular pada masa kini, kerana telah banyak pengkaji yang menemui khasiat yang terkandung di dalam buah ini yang bermanfaat untuk kesihatan secara semulajadi.

  Durian Belanda atau nama saintifiknya Annona Muricata, bukanlah dalam kategori buah durian seperti buah durian yang popular di Malaysia, tetapi oleh kerana buah ini memiliki duri yang lembut pada kulitnya maka ia dinamakan sedemikian. Isi buah ini berwarna putih, tekstur isinya lembut dan mempunyai bijih-bijih kecil berwarna hitam. Buah ini rasanya masa-masam manis.

   Buah Durian Belanda ini dikatakan berasal dari sekitar hutan tropika  Negara Amerika Selatan dan kini telah ditanam di Negara-negara Asia Tenggara, termasuk Malaysia dan juga Indonesia. Kebiasannya buah ini ditanam di kawasan rumah kerana saiz pokok buah ini tidak terlalu besar. Tetapi pada masa kini, penanaman pokok ini telah dilakukan secara komersial di kawasan tanah dan saliran yang baik kerana permintaan pasaran semakin meningkat.

   Para pengkaji telah menemui vitamin C, vitamin B dan nutrien-nutrien lain yang baik untuk kesihatan terkandung pada buah ini, termasuk antioksidan yang dapat meningkatkan daya tahan dan melambatkan proses penuaan.

 Sekiranya, terdapat bayi mengalami keracunan makanan, buah ini boleh digunakan untuk mengubati bayi tersebut dan seterusnya dapat meningkatkan sistem imunisasi badan agar tidak mudah dijangkiti penyakit.

  Kadar kandungan gula dalam darah adalah sesuatu yang amat penting dalam aspek kesihatan, kandungan gula yang kurang atau berlebihan akan memberi kesan kepada kesihatan seseorang dan buah Durian Belanda ini adalah salah satu makanan yang dapat mengawal kandungan gula di darah secara semulajadi dan seterusnya dapat membunuh parasit-parasit yang bersarang di dalam tubuh badan manusia.

 Selain itu, kandungan iron yang terdapat pada buah Durian Belanda dapat membersihkan buah pinggang dan membaiki sistem penghadaman. Seterusnya, buah ini boleh dimakan untuk mengatasi masalah kencing tidak lawas.

  Buah Durian Belanda ini juga boleh dijadikan sebagai diet harian untuk menjaga kesihatan jantung dan mencegah kerosakkan saraf jika dimakan secara konsisten mengikut kadar yang telah disarankan oleh doktor.
`
  Walau bagaimanapun, jika anda mengalami masalah kesihatan, anda dicadangkan mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu, sebelum menjadikan buah Durian Belanda sebagai diet atau salah satu inisiatif untuk merawat masalah kesihatan yang anda alami

Sunday, February 9, 2020



Hidup ini ibarat air laut dan langit. Air laut tidak selalu jernih, langit tidak selalu cerah. Namun, pasti ada hikmah dalam setiap kejadian.
 

Apresiasi Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates