Tuesday, March 31, 2020

0 Kepentingan Menggunakan Akal Ketika Berfikir.

   Manusia mestilah menggunakan akal fikiran untuk mencapai sesuatu kejayaan dalam hidup. Al-Quran juga telah menggesa manusia untuk berfikir tentang kejadian alam semesta untuk membuktikan kewujudan Allah S.W.T. dan tentang nikmat tidak terhingga yang Allah S.W.T. berikan kepada makhluk-Nya. Fenomena alam juga dapat membuktikan kekuasaan Allah S.W.T. yang dinamakan Sunnatullah yang berkuasa mengatur alam.

   Menggunakan akal ketika berfikir dapat membuktikan kejadian manusia berbeza dengan kejadian makhluk lain yang ada di muka bumi ini, kelebihan akal yang ada pada manusia tetapi tidak diberikan kepada makhluk lain. Maka dengan itu, manusia mestilah menjaga dan menggunakan kelebihan akal yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. dengan sebaiknya.

  Allah S.W.T. telah menyebut berulang-ulang kali di dalam Al-Quran tentang penggunaan akal ketika berfikir, ini bermakna umat Islam amat digalakkan menggunakan akal semasa berfikir untuk menggelak individu tersebut membuat keputusan dan mengambil tindakkan yang melulu dan boleh mendatangkan kesan buruk kepada individu atau masyarakat.

   Menggunakan nikmat akal yang sempurna dengan baik akan dapat meningkatkan keimanan seseorang dan akan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.. Penggunaan akal dengan baik akan dapat membimbing manusia ke arah kebaikan di dunia dan di akhirat. Akal boleh digunakan untuk memikirkan fenomena alam yang membuktikan kekuasaan Allah S.W.T. dan sekaligus akan dapat meningkatkan keimanan seseorang.

   Jika digabungkan akal dan fizikal manusia untuk digunakan ke arah kebaikan akan dapat menghasilkan sesuatu pencapaian yang baik dengan usaha gigih individu tersebut. Hal ini kerana Islam amat menggalakkan umatnya berfikir dan berusaha untuk mencapai kejayaan dalam hidup dan seterusnya mendapat kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

   Manusia dilantik menjadi khalifah di muka bumi ini kerana manusia mempunyai akal yang tidak dikurniakan kepada makhluk lain. Akal manusia mampu mengendalikan, mengatur dan mentadbir dunia dengan baik. Seorang khalifah yang baik adalah khalifah yang beriman kepada Allah S.W.T. dan menjadi khalifah yang patuh pada syariat Islam.

   Penggunaan akal fikiran dengan baik akan membolehkan manusia menguasai dunia dengan pelbagai pencapaian yang membanggakan. Banyak garis panduan untuk mencapai kejayaan yang terkandung di dalam Al-Quran yang boleh digunakan oleh umat Islam.



Sunday, March 29, 2020

0 Garis Panduan Dan Adab Berfikir Dalam Kehidupan


   Berfikir ialah menggunakan akal untuk memahami atau menyelesaikan sesuatu masalah berdasarkan ilmu yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T.. Berfikir menggunakan akal dan ilmu akan memudahkan seseorang untuk menemukan jalan penyelesaian sebenar dalam sesuatu perkara. Umat Islam juga dilarang menggunakan akal yang boleh menyesatkan akhlak dan akidah seseorang.

Di dalam garis panduan dan adab berfikir, kemampuan akal untuk berfikir adalah terbatas kepada perkara-pekara yang telah diwahyukan dan terdapat di dalam syariat Islam. Kita tidak boleh menggunakan akal untuk memikirkan perkara-perkara ghaib yang telah dijelaskan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

   Manusia hanya mampu memikirkan beberapa aspek mengenai sifat sesuatu perkara yang terdapat di muka bumi ini, seperti penentuan sifat baik atau buruk, bersih atau kotor, cantik atau hodoh dan sebagainya. Manusia tidak boleh berfikir sesuatu yang boleh yang dilarang dalam Islam sehingga boleh mendekatkan diri kepada perkara-perkara maksiat dan perbuatan zalim.

   Kadangkala, akal manusia boleh mencapai kejayaan melalui kajian-kajian tentang saintifik tetapi terdapat beberapa pencapaian sains kebenarannya hanya seketika dan pendapat tentang pencapaian itu boleh berubah pada bila-bila masa mengikut teori dan kepakaran seseorang atau teknologi yang digunakan.

   Di samping itu, dalam garis panduan dan adab berfikir, kita haruslah berfikir dengan berpandukan maklumat yang benar dan fakta yang tepat untuk membuat pilihan dan keputusan yang benar mengenai sesuatu perkara. Maklumat yang benar dan fakta yang tepat dapat mengelak daripada berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini, seperti pergaduhan atau percanggahan pendapat yang serius.

    Sebagai manusia kita mempunyai keistimewaan boleh berfikir  untuk merancang dan mengatur strategik untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan. Dengan  rancangan dan strategik yang mantap kita lebih fokus dan lebih mudah melakukan tindakan untuk mencapai sesuatu kejayaan yang diinginkan.

   Maka dengan itu, kelebihan akal yang dikurniakan olah Allah S.W.T. perlu dijaga dan digunakan sebaiknya berpandukan ilmu dan iman sebagai seorang mukmin  yang sempurna buah fikirannya. Banyak faedah sekiranya akal digunakan pada perkara-perkara yang bermanfaat.

Friday, March 27, 2020

0 Hikmat Manusia Diberi Kesusahan Dan Penderitaan Oleh Allah S.W.T.

   Semua manusia yang hidup di muka bumi ini pasti pernah merasa kesusahan dan penderitaan dalam hidup. Tidak kira berapa banyak harta dan betapa besar keluarganya kerana setiap apa yang kita miliki itu adalah satu bentuk ujian Allah S.W.T. kepada hamba-hamba yang beriman. Terdapat beberapa hikmat kenapa Allah S.W.T. memberi kesusahan dan penderitaan kepada hamba-hamba-Nya.

   Kesusahan dan penderitaan yang diberikan oleh Allah S.W.T. adalah untuk mengajar manusia supaya sentiasa mengingati Allah S.W.T. dan mendekati diri kepada Allah S.W.T. dengan cara menunaikan perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya dan juga mengajar manusia untuk mengenal kebesaran Allah S.W.T..

   Kesusahan dan penderitaan yang diberikan oleh Allah S.W.T. kepada manusia adalah satu bentuk ujian Allah S.W.T. kepada semua makhluk yang Dia sayangi. Allah S.W.T. akan memberikan pahala berlipat ganda kepada mereka yang sabar dengan ujian Allah S.W.T..

   Di samping itu, supaya manusia mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. dan memohon pertolongan dan petunjuk daripada Allah S.W.T. sebagai tempat permohonan yang mutlak, kerana setiap apa yang berlaku adalah kehendak dan dengan izin Allah S.W.T. kita sebagai manusia hanya mampu merancang, berusaha, berdoa dan tawakal.

   Kesusahan dan penderitaan yang kita alami akan mengajar kita banyak perkara yang boleh dijadikan sebagai pengajaran dalam menempuhi hari-hari yang akan datang. Dengan kesusahan dan penderitaan yang pernah dialami akan memberi peluang kepada manusia untuk berusaha mencapai kebahagian hidup di dunia dan seterusnya untuk bekalan akhirat.

   Selain itu, kesusahan dan penderitaan juga adalah sebagai pembalasan daripada Allah S.W.T. kepada hamba-hamba-Nya yang ingkar, meninggalkan ajaran Islam dengan sengaja dan mereka yang melakukan maksiat secara berterusan tanpa ada rasa takut dan berdosa. Bala yang diturunkan oleh Allah S.W.T. tidak hanya menimpa individu tersebut tetapi akan menimpa seluruh hamba-Nya.

   Sebagai manusia yang kerdil dan tidak lari dari melakukan dosa, kita haruslah berusaha memperbaiki diri dan keluarga agar kita terhindar dari pembalasan Allah S.W.T.. Lapangkan dada untuk menerima kesusahan dan penderitaan Allah S.W.T. dengan memikirkan hikmah yang dititipkan oleh Allah S.W.T. disebalik ujian-ujian-Nya.

Thursday, March 26, 2020

0 Ciri-Ciri Pasangan Yang Baik


   Pemilihan pasangan hidup adalah aspek yang paling penting dan perlu dititikberatkan agar ikatan rumahtangga dapat berkekalan hingga ke akhirat hayat. Seorang bakal suami atau bakal isteri hendaklah memiliki ciri-ciri yang baik sepertimana yang terdapat dalam garis panduan pemilihan pasangan hidup sebagai seorang muslim.

Ciri-ciri bakal suami yang baik;
*        Beriman dan bertakwa kepada Allah S.W.T..
*        Bertanggungjawab kepada semua perkara.
*        Mempunyai ilmu agama dan boleh membimbing pasangan
      ke arah kebaikan.
*        Berakhlak mulia dan terpuji.
*        Sihat mental dan fizikal.
*        Rajin berusaha untuk kebaikan keluarga atau rumahtangga.

Ciri-ciri bakal isteri yang baik;
*        Solehah dan beriman kepada Allah S.W.T..
*        Mempunyai rupa paras yang cantik dan elok.
*        Berakhlak mulia dan terpuji sebagai seorang muslimah.
*        Seorang wanita yang boleh melahirkan zuriat.
*        Masih dara atau perawan.
*        Wanita yang berasal daripada keturunan yang baik.
*        Bukan dari keturunan atau keluarga terdekat.
*        Menentukan kadar mas kahwin yang rendah.

   Ada banyak cara untuk membuat pilihan pasangan hidup, sama ada pilihan sendiri atau pilihan keluarga. Namun, setiap perkahwinan perlu mendapat restu daripada ibu bapa kedua-dua belah pihak dan persetujuan pasangan tersebut, untuk mengelak berlaku masalah atau kesulitan pada kemudian hari.


Wednesday, March 25, 2020

0 Tiga Bidang Utama Tanggungjawab Manusia


   Setiap makhluk Allah S.W.T. yang hidup di muka ini masing-masing mempunyai tanggungjawab yang perlu dipikul. Begitu juga dengan kita sebagai seorang mukmin telah diberi tanggungjawab untuk dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Tanggungjawab seorang mukmin bukan hanya untuk diri sendiri atau keluarga tetapi menyeluruh, sama ada berkaitan manusia sesama manusia atau manusia sesama makhluk Allah S.W.T. yang lain.

1.  Al-Ibadat
  Bidang tanggungjawab manusia yang pertama ialah Al-Ibadat. Setiap manusia wajib mengabdikan diri kepada Maha Pencipta dengan melaksanakan perintah ibadat umum dan ibadat khusus yang telah dipertanggungjawabkan ke atas seorang mukmin.

2Al-Khilafah
  Bidang tanggungjawab manusia yang kedua ialah Al-Khilafah yang bermaksud mewujudkan kekuasaan dan membina kekuatan untuk menjalankan amanah Allah S.W.T. dan mentadbir sesebuah kerajaan berlandaskan prinsip pengabdian kepada-Nya dan mengikut undang-undang Islam.

3. Al-Imarah
  Bidang tanggungjawab manusia yang ketiga ialah Al-Imarah. Sebagai seorang khalifah yang bertanggungjawab  mesti membina pembangunan dan mewujudkan prasana yang bermanfaat untuk kegunaan atau kemudahan rakyat agar dapat membentuk Negara yang maju dan makmur.

  Sesiapa sahaja bertanggungjawab untuk mencapai kecemerlangan diri sendiri, keluarga, agama dan Negara tanpa mengira kedudukan dan latarbelakang. Setiap manusia berhak untuk mendapat kebahagiaan dan kejayaan yang mereka impikan asalkan tidak melanggar hukum syarak dan tidak menindas orang lain.

Sunday, March 22, 2020

0 Jenis-Jenis Sedekah Yang Bermanfaat

Sedekah   Memberi sedekah adalah satu amalan yang digalakkan dalam Islam dan hukum memberi sedekah adalah sunat. Pemberi sedekah yang benar-benar ikhlas tanpa menunjuk-nunjuk dan mengungkit pemberiannya akan digandakan lagi rezekinya oleh Allah S.W.T.. Antara contoh amalan sedekah yang bermanfaat;

a). Memberi sesuatu yang bermanfaat .
   Memberi sesuatu yang bermanfaat seperti  wang ringgit, makanan dan barang keperluan lain yang dapat digunakan untuk meringgankan beban orang yang memerlukan. Barang  atau makanan yang diberikan hendaklah barang yang disukai dan disayangi.

b). Menyediakan dan memberi perkhidmatan.
   Tidak semua orang memiliki keperluan yang lengkap dalam hidup seperti kereta. Menyediakan atau memberikan perkhidmatan kepada mereka yang memerlukan adalah cara bersedekah yang amat digalakkan kerana dapat meringgankan beban orang yang dalam kesusahan.

c). Memberi nasihat.
    Memberi nasihat kepada mereka yang  dalam kesesatan dan mengajak ke arah amar makruf dan nahi munkar akan membantu seseorang untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T..

d). Membantu menyelesaikan masalah orang lain.
     Apabila keluarga atau rakan kita dalam kesusahan, kita digalakkan untuk membantu mereka mengikut kemampuan kita, kerana tidak semua orang mampu menyelesaikan masalahnya sendiri. Dengan adanya bantuan yang diberikan oleh orang lain akan dapat meringgankan beban yang dipikul oleh individu tersebut.

e). Melangkah untuk beribadat.
    Setiap langkah menuju ke pusat ibadat atau menuntut ilmu yang bermanfaat adalah satu sedekah. Semakin jauh tempat ibadat yang di tuju, semakin banyak pahala yang akan diperolehi.

f). Membuang atau mengalihkan sesuatu berbahaya.
   Membuang dan mengalihkan sesuatu berbahaya di jalan dianggap sedekah kerana dapat menyelamatkan nyawa orang lain atau menyelamatkan orang lain daripada tercedera. Sebagai contoh, membuang serpihan kaca pecah di jalanan. 
   
   Memberi sedekah akan dapat meringgankan beban dan penderitaan orang-orang yang berada dalam kesusahan. Bersedekah juga, dapat mendidik jiwa supaya sentiasa berasa ihsan kepada mereka yang mengalami kesusahan dan memerlukan pertolongan.


Friday, March 20, 2020

0 Jenis-Jenis Riba

   Riba bermaksud memberi atau menerima sesuatu lebihan barangan,  wang ringgit atau harta ketika melakukan pertukaran atau berlaku penangguhan waktu yang dilarang oleh hukum syarak. Hukum memberi dan menerima riba adalah haram kerana boleh menyebabkan berlakunya penindasan terhadap orang lain. Terdapat empat jenis riba.

1). Riba al-Fadli
   Riba al-Fadli bermaksud menerima atau memberi pertukaran antara dua barang yang sama jenis tetapi tidak sama dari segi nilai,  timbangan, sukatan atau ukuran sesuatu barang. Sebagai contoh, A bertukar 3 kg beras dengan B, B akan membayar balik 4 kg beras kepada A, berat 3 kg beras A dengan 4 kg beras B sudah tidak sama.

2). Riba al-Qarabi
   Riba al-Qarabi bermaksud menerima atau memberi pertukaran antara dua barang yang dikenakan  syarat mesti ada keuntungan atau lebihan kerana melebihi masa. Sebagai contohnya, A meminjam wang Rm 2000 dari B, A akan membayar balik Rm3200 kepada B dalam tempoh  satu tahun, B akan mendapat keuntungan Rm100 sebulan.

3). Riba al-Yadi
   Riba al-Yadi bermaksud menerima atau memberi pertukaran atau jual beli barang secara terpisah semasa akad dijalankan (membeli secara tempahan). Sebagai contoh, wang sebanyak Rm200 000.00 dengan sebuah rumah yang belum dibina atau belum siap.

4). Riba an-Nasiah  
   Riba an-Nasiah bermaksud menerima atau memberi pertukaran atau jual beli berbeza antara pertukaran tunai dan tertangguh. Sebagai contoh, A berhutang Rm200 kepada B, apabila tiba waktu pembayaran A gagal melunaskan hutangnya dan B akan menambahkan hutang A menjadi Rm250 kerana gagal melunaskan hutang pada masa yang telah ditetapkan.

  Riba adalah satu cara mengambil kesempatan atas kesusahan dan penderitaan orang lain dan menghapuskan sikap  tolong-menolong dalam masyarakat sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati dan berlaku pergaduhan. Sebagai masyarakat yang prihatin, kita haruslah menghapuskan amalan riba untuk mengelak berlaku penindasan dalam masyarakat.

Thursday, March 19, 2020

0 Aktiviti Bermanfaat Yang Boleh Dilakukan Semasa Berada Di Rumah

   Dunia telah dikejutkan oleh penularan virus berbahaya yang telah mengorbankan banyak nyawa dan peningkatan jumlah mangsa dijangkiti semakin mendadak, telah membimbangkan semua pihak. Pelbagai cara pencegahan telah dilakukan untuk mengelak masalah ini semakin serius.

   Dengan itu, kerajaan telah mengambil langkah drastik untuk menbendung masalah ini dengan bantuan agensi-agensi kerajaan yang terlibat. Kita sebagai rakyat mestilah mematuhi setiap arahan yang dkeluarkan oleh pihak yang terlibat untuk memudahkan mereka menjalankan tugas dan mengelak berlaku penyebaran virus.

   Sebagai contoh, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan kepada seluruh rakyat Malaysia, langkah ini adalah satu langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk kebaikan bersama. Kita haruslah sentiasa berada di rumah dalam tempoh yang telah ditetapkan. Maka dengan itu, kita boleh menggunakan masa ini untuk melakukan pelbagai aktiviti-aktiviti yang bermanfaat bersama keluarga.

1). Luang masa bersama keluarga.
   Bagi mereka yang sibuk bekerja untuk menyara keluarga memang kurang masa untuk bersama keluarga. Pada kesempatan ini, kita gunakan untuk bersama mereka di rumah dengan bermain bersama anak-anak, berkongsi cerita bersama mereka, makan bersama keluarga dan kurangkan bermain telefon bimbit ketika bersama keluarga kerana masa bersama keluarga ini adalah masa yang paling berharga dalam hidup kita.

2). Mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. dan solat berjemaah bersama keluarga.
   Dalam kesibukan tugasan harian kita sering lupa tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya, kita ambil kesempatan ini untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T., muhasabah diri, minta petunjuk dan perlindungan daripada Allah S.W.T.. Ajak keluarga kita solat berjemaah di dalam rumah. Di samping itu, kita boleh mengajak anak-anak kita mengaji bersama-sama dan belajar ilmu-ilmu fardu ain yang amat penting dalam kehidupan harian kita sebagai seorang muslim.

3). Bergotong-royong membersihkan rumah.
   Apabila semua ahli keluarga berkumpul di rumah, ini akan meringgankan beban kita untuk melakukan kerja-kerja rumah. Dengan itu, kita ambil kesempatan ini untuk mengadakan gotong-royong membersihkan rumah, terutama sekali kawasan-kawasan terbiar yang terdapat di dalam rumah, membersihkan barang atau perabot yang ada di dalam rumah, mengemas rumah agar kelihatan lebih kemas, cantik dan bersih.

4). Membantu anak-anak dalam pelajaran.
   Kebiasaannya sebelum cuti sekolah bermula, guru-guru akan memberi tugasan kerja sekolah untuk disiapkan di rumah, pada kesempatan ini ibu bapa boleh meluangkan masa untuk membantu anak-anak menyiapkan kerja sekolah dalam subjek-subjek yang mereka kurang kuasai. Selain itu, ibu bapa juga boleh berkongsi cerita tentang pengalaman mereka semasa bersekolah bertujuan untuk memotivasikan anak-anak supaya lebih bersemangat dalam menuntut ilmu.

5). Menyelesaikan tugas-tugas kerja di rumah.
  Dalam keadaan segera, mungkin ramai di kalangan pekerja yang tidak dapat menyiapkan tugasan yang diberikan oleh majikan di tempat kerja atau di pejabat. Pekerja boleh menyiapkan kerja tersebut di rumah, tetapi bergantung kepada kesesuaian pekerjaan seseorang. Selain itu, kita juga boleh menyediakan keperluan kerja lebih awal agar tidak kelang-kabut apabila tiba waktu bekerja.

  Dengan adanya kerjasama daripada rakyat, langkah pencegahan ini akan dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan. Walaupun, keadaan ini akan menimbulkan kesulitan dan kesukaran kepada kita untuk menjalani aktiviti harian. Namun, kita terpaksa akur kerana ini adalah salah satu tindakan yang terpaksa diambil oleh kerajaan untuk menbendung penularan wabak berbahaya.

Wednesday, March 18, 2020

0 Ciri-Ciri Tempat Rekreasi Yang Baik


   Peningkatan kesedaran masyarakat tentang betapa pentingnya mengamalkan budaya hidup sihat telah menjadikan tempat rekreasi sebagai salah satu tempat yang wajib dikunjungi pada waktu lapang. Selain itu, usaha kerajaan  telah mewujubkan tempat-tempat rekreasi yang menarik dan selesa telah menarik minat orang ramai untuk berkunjung.

    Rekreasi bermaksud melakukan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan, melakukan hobi yang boleh meningkatkan kesihatan dan memberi ketenangan. Rekreasi terbahagi kepada dua jenis iaitu rekreasi aktif dan pasif, rekreasi aktif seperti mendaki gunung dan aktiviti-aktiviti lasak yang menguji ketahanan fizikal dan mental. Manakala, rekreasi pasif seperti bersiar-siar dan aktiviti-aktiviti ringan yang mudah dilakukan.

1). Memiliki Kemudahan Fizikal
Ciri-ciri tempat rekreasi yang mempunyai kemudahan fizikal yang baik akan dapat menarik minat orang ramai untuk berkunjung ke tempat tersebut kerana memudahkan pengunjung untuk menyelesaikan urusan-urusan tertentu. Sebagai contoh, kemudahan tandas awam dan bilik air yang bersih, kemudahan tempat wuduk dan solat, banyak tempat rehat yang selesa, kemudahan jalan raya dan tempat letak kereta yang luas.

2). Tempat Rekreasi Yang Selamat
Ciri-ciri tempat rekreasi yang baik juga mestilah mempunyai sistem keselamatan yang terjamin. Pengusaha mestilah menyediakan pengawal keselamatan dan pegawai penguatkuasa undang-undang, menyediakan kamera litar untuk memantau keselamatan pengunjung, menyediakan alat-alat kecemasan dan memastikan persekitaran tempat tersebut tidak berbahaya.

3). Tempat Rekreasi Yang Memiliki Keistimewaan
Keistimewaan yang terdapat pada sebuah tempat rekreasi adalah faktor utama yang akan menarik minat pengunjung.  Sebagai contoh, pemandangan yang cantik dan tempat yang bersih, mempunyai kemudahan rekreasi sesuai untuk semua peringkat umur, menyediakan gerai jualan makanan dan minuman serta cenderamata, dapat melakukan pelbagai aktiviti sukan dan penyelidikan dan juga tempat tersebut menyediakan peralatan rekreasi yang lengkap dan cukup untuk pelbagai aktiviti.

    Kita haruslah menjaga kemudahan tempat rekreasi yang telah disediakan dengan baik supaya kemudahan-kemudahan tersebut dapat digunakan lebih lama dan tidak memudaratkan pengguna lain yang turut sama menggunakan tempat tersebut. Pengguna juga perlu menjaga kebersihan tempat rekreasi supaya aktiviti-aktivit rekreasi dapat dilakukan tanpa ada gangguan yang kurang menyenangkan.


Sunday, March 15, 2020

0 Perbuatan Yang Tidak Beradab Ketika Menziarahi Jenazah


   Dalam masyarakat kita ziarah-menziarahi sudah menjadi satu amalan sejak turun-temurun dan menjadi tuntutan dalam Islam untuk menjalinkan silaturahim yang lebih akrab dan  menjaga adab ketika menziarahi seseorang atau sebuah keluarga adalah sangat penting, terutama sekali ketika menziarahi jenazah. Antara contoh perbuatan yang tidak beradab ketika menziarahi jenazah.

·   Meratapi dan menangis dengan kuat pemergian arwah.

·   Menambah beban keluarga tersebut dengan meminta sesuatu yang sukar 
   untuk disediakan.

·   Bercerita dan bersembang perkara-perkara yang tidak berfaedah di hadapan 
    jenazah atau tetamu lain.

·   Tidak sopan dan tidak menghormati keluarga arwah dan tetamu lain.

·   Tidak memaafkan kesalahan arwah dan menceritakan keburukan-keburukan 
   arwah sepanjang hayatnya.

·   Mengganggu pengurusan jenazah sehingga boleh melambatkan proses 
   pengurusan jenazah.

·   Mengadakan majlis makan dan minum secara besar-besaran di hadapan jenazah.
 
   Menjaga adab ketika menziarahi jenazah akan memudahkan urusan keluarga tersebut untuk menguruskan jenazah. Selain itu, seseorang yang menjaga adab ketika menziarahi jenazah akan dapat mengeratkan silaturahim dengan keluarga arwah dan tetamu-tetamu lain

Friday, March 13, 2020

0 Hukum-Hukum Perkahwinan Dalam Islam

   Setiap makhluk yang ada di muka bumi ini Allah S.W.T. diciptakan secara Berpasang-pasangan. Seperti siang dan malam, lelaki dan perempuan, jantan dan betina dan juga kejadian pasang surut. Bagi manusia, Allah S.W.T. telah mensyariatkan bahawa hanya melalui akad nikah yang sah sahaja diterima sebagai pasangan yang mendapat keredaan Allah S.W.T..

1.    Sunat
   Merupakan suatu ibadat dan sunah Rasulullah s.a.w., bagi mereka yang mampu dan berhajat ingin berkahwin.

2.    Wajib
   Bagi mereka yang mampu dan sanggup berkahwin, jika tidak berkahwin dikhuatiri akan terjerumus kepada maksiat perzinaan.

3.    Haram
   Bagi mereka yang tidak mampu memberi nafkah zahir dan batin kepada pasangan. Kerana dikhuatiri akan memudaratkan diri atau pasangannya dan akan berlaku zalim kepada pasangan.

4.    Makruh
   Bagi mereka yang tidak berhajat untuk berkahwin kerana bimbang tidak dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sepenuhnya atau mempunyai kelemahan dan berupaya menghindarkan diri dari maksiat perzinaan.

5.    Harus
   Bagi mereka yang mampu tetapi tidak berhajat untuk berkahwin dan dapat mengawal diri daripada maksiat perzinaan.

   Perkahwinan mengikut syariat dan sunah Rasulullah s.a.w akan mendatangkan banyak kebaikan kepada individu, keluarga dan masyarakat. Perkahwinan juga dapat menjalin hubungan persaudaraan  dan memupuk ikatan silaturahim antara keluarga suami dengan keluarga isteri.

Thursday, March 12, 2020

0 Perkara-perkara Yang Membatalkan Iman


   Sebelum kita bercerita lebih lanjut tentang perkara-perkara yang membatalkan iman, kita merungkai terlebih dahulu maksud sebenar iman. Iman bermaksud ikhlas membenarkan dengan hati atau yakin dengan kewujudan Allah S.W.T. dalam hati yang diakui dengan lidah dan beramal dengan anggota atau dari segi bahasa iman ialah percaya.

Rukun Iman ada enam(6) perkara;
1.    Beriman kepada Allah.
2.    Beriman kepada Malaikat-Malaikat Allah.
3.    Beriman kepada Kitab Allah.
4.    Beriman kepada Rasul-Rasul Allah.
5.    Beriman kepada Hari Kiamat.
6.    Beriman kepada Qada’ dan Qadar Allah.


1.    Syirik             
   Syirik bermaksud menyekutukan atau menduakan Allah S.W.T. dengan sesuatu makhluk lain. Sebagai contoh, seseorang menyembah patung yang dianggap sebagai Tuhan. Perbuatan syirik boleh dilakukan sama ada dengan perbuatan, perkataan atau dengan hati.

2.    Kufur
   Kufur atau kafir bermaksud seseorang yang tidak beriman dengan Rukun Iman atau Rukun Islam atau kedua-duanya sekali. Terdapat tiga jenis kufur  iaitu kufur akidah, kufur syariat dan kufur akhlak.

3.    Riddah
   Riddah atau murtad bermaksud orang Islam yang keluar dari agama Islam. Riddah berlaku apabila seseorang yang beragama Islam tidak lagi percaya kepada Rukun Iman atau Rukun Islam ataupun kedua-duanya sekali

4.    Khurafat
   Khurafat bermaksud sesuatu kepercayaan atau amalan yang bertentangan dengan syariat dan akidah Islam yang tidak terkandung di dalam Al-Quran, As-Sunnah atau dari mana-mana pendapat ahli ulamak. Antara contoh perbuatan khurafat ialah memuja kubur keramat, mandi safar, penggunaan tangkal azimat dan percaya binatang boleh membawa sial kepada seseorang.

5.    Sihir
   Sihir bermaksud perbuatan ghaib yang dilakukan melalui perantaraan makhluk halus seperti syaitan atau jin. Sihir dilakukan oleh orang fasik atau kafir bertujuan untuk memundaratkan orang lain seperti santau, pukau dan ilmu hitam.

6.    Nifak
   Nifak atau munafik bermaksud berpura-pura beriman kepada Allah S.W.T. tetapi hatinya kufur kepada Allah S.W.T. dan ingkar kepada perintah-Nya. Orang munafik suka berbohong, suka menyeleweng amanah dan suka memungkiri janji.

   Menjaga iman dan menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan iman dapat membentuk jati diri sebagai seorang muslim sejati yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan Negara. Selain itu, akan dapat mewujudkan perpaduan yang hormani di kalangan masyarakat tanpa mengira perbezaan latarbelakang.

                   

0 Faktor Terjebak Kepada Liwat Dan Muhasaqah


   Liwat ialah hubungan sejenis antara lelaki dengan lelaki atau lebih dikenali sebagai Gay. Manakala, Muhasaqah ialah hubungan sejenis antara perempuan dengan perempuan ataupun lebih dikenali sebagai Lesbian.

   Liwat dan Muhasaqah adalah perbuatan yang dilarang keras dalam Islam kerana Allah S.W.T. telah menciptakan manusia berpasang-pasangan mengikut hukum syarak iaitu kaum lelaki hendaklah berpasangan dengan kaum perempuan melalui perkahwinan yang sah.

   Islam melarang keras perbuatan ini kerana boleh mendatangkan banyak kesan buruk kepada individu, keluarga dan juga masyarakat. Terdapat beberapa faktor yang mendorong seseorang terjebak kepada perbuatan ini.

1.      Kurang Didikan Agama Dan Lemah Iman ;
   Didikan agama perlu diterapkan sejak dari kecil lagi. Hal ini kerana, agama adalah pegangan hidup seseorang untuk menjadi individu yang berguna dan tidak melibatkan diri kepada kegiatan yang tidak bermoral. Ilmu agama perlu dipelajari dan dipraktikkan dalam kehidupan harian. Menunaikan ibadat fardu akan dapat mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.  dan seterusnya akan menguatkan iman seseorang.

2.      Pengaruh budaya barat yang tidak bertamadun ;
   Peningkatan hubungan Liwat dan Muhasaqah di barat telah tersebar ke seluruh dunia dan telah mempengaruhi banyak pihak. Tindakan sesetengah Negara yang mengiktiraf perkahwinan sejenis telah mendorong golongan ini bertindak berani melakukan aktiviti tidak bermoral mereka secara terbuka.

3.      Terdedah kepada bahan-bahan lucah ;
   Kemajuan teknologi telekomunikasi pada masa ini telah memudahkan akses pencarian maklumat, termasuklah maklumat bahan-bahan lucah yang boleh didapati dengan mudah dari internet. Bahan-bahan ini boleh didapati melalui media cetak atau media elektronik.

4.      Banyak Kali Gagal Dalam Hubungan ;
   Kerap kali gagal dalam hubungan sebelum ini juga adalah faktor yang boleh menyebabkan seseorang cenderung terlibat dalam hubungan Liwat dan Muhasaqah. Hal ini kerana, telah hilang kepercayaan sama ada kepercayaan lelaki kepada perempuan atau kepercayaan perempuan kepada lelaki.

5.      Pengaruh Dari Rakan ;
   Bergaul rapat dengan individu yang terlibat dengan hubungan Liwat dan Muhasaqah boleh mempengaruh seseorang untuk turut sama menyertai aktiviti mereka. Kebanyakkan golongan ini mempunyai kemahiran memujuk, termasuk memberi habuan-habuan yang istemewa.

   Melakukakan hubungan Liwat dan Muhasaqah dilarangan kerana boleh mendatang pelbagai jenis penyakit yang berbahaya. Di samping itu, mewajibkan manusia  menjalinkan hubungan yang sah melalui perkahwinan mengikut hukum syarak yang telah ditetakpan dalam Islam seterusnya menimbulkan rasa tanggungjawab untuk melahirkan zuriat yang sah.


Monday, March 9, 2020

0 Ciri-ciri Mukmin Yang Berjaya


   Menjadi seorang mukmin yang berjaya adalah impian semua orang. Namun, tidak semua orang dapat menjadi seorang mukmin yang berjaya di dunia dan di akhirat. Orang mukmin boleh mencapai kejayaan jika mereka mengamalkan kehidupan cara Islam dan Allah S.W.T. telah menjanjikan kejayaan di dunia dan di akhirat bagi mereka yang beriman. Antara ciri-ciri mukmin yang berjaya ;

1.    Menjaga Waktu Dan Khusyuk Dalam Solat,
   Solat adalah ibadah fardu yang sangat penting dalam kehidupan semua muslim dan menjadi tiang agama. Solat yang khusyuk akan diterima oleh Allah S.W.T. dan beri pahala. Orang yang menjaga waktu dan khusyuk dalam solat akan menjauhkan diri daripada maksiat, hubungannya dengan Allah S.W.T. akan lebih akrab dan dapat membersihkan hati daripada sifat mazmumah.

2.    Mengeluarkan Zakat,
   Mengeluarkan Zakat adalah tuntutan yang wajib dibayar oleh semua umat Islam, mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Pengurusan kutipan dan pembahagian zakat akan diuruskan oleh satu badan yang telah diluluskan. Bayaran zakat akan disalurkan kepada 8 golongan asnaf yang telah dipilih, iaitu Fakir, Miskin, Amil, Muallaf, A-Riqab, Al-Gharimin, Fisabilillah dan Ibnu Sabil.

3.    Menjaga Kehormatan Diri,
   Menjaga kehormatan diri adalah perkara penting yang perlu diambil perhatian serius oleh seorang muslim tidak kira lelaki ataupun perempuan. Menjaga kehormatan diri termasuklah menjaga pergaulan, menjaga cara berpakaian dan berusaha menjauhkan diri daripada perbuatan-perbuatan maksiat.

4.    Menjaga Amanah Dan Menepati Janji.
   Menjaga amanah dan menepati janji adalah perkara yang sangat dituntut dalam Islam kerana akan melibatkan soal kepercayaan, apabila kepercayaan seseorang itu telah dikhianati amat sukar untuk mengembalikan kepercayaan tersebut. Dengan itu, kita haruslah sentiasa amanah kepada Allah S.W.T., diri sendiri dan orang lain.

  Jika kita bersungguh-sungguh mempraktikkan amalan-amalan baik mengikut hukum syarak, Allah S.W.T. akan permudahkan urusan dan murahkan rezeki kita untuk mencapai kejayaan yang diimpikan, dengan usaha, tawakal dan diiringi doa.

Sunday, March 8, 2020

0 7 Kebaikan Petroleum Jelly

         


   Pasti anda pernah ternampak Petroleum Jelly dalam gambar di atas, mandon petroleum jelly mengandungi minyak zaiton yang mudah menyerap ke dalam kulit. Petroleum jelly sangat sesuai digunakan untuk penjagaan kulit setiap hari, produk ini boleh didapati di Watson, Guardian atau supermarket. Harganya juga berpatutan dan mampu milik. Antara kebaikan petroleum jelly;

1.    Melembabkan dan menghaluskan tangan dan kaki :
Apabila kulit tangan atau kaki terasa kering dan kasar, petroleum jelly boleh digunakan untuk merawat masalah tersebut. Penggunaan petroleum jelly secara konsisten dapat melembabkan dan menghaluskan kulit tangan dan kaki yang kasar.

2.    Melembabkan dan memutihkan siku dan buku lali :
Petroleum jelly dapat melembabkan siku dan buku lali yang kasar dan dapat memutihkan bahagian siku dan buku lali yang telah hitam. Seterusnya membuang kulit mati yang terdapat pada siku dan buku lali.

3.    Melembabkan dan menghaluskan kulit wajah :
Individu yang sering terdedah kepada cuasa panas, kulitnya berisiko untuk kering. Terutama sekali bahagian kulit wajah kerana kulit wajah sangat nipis jika dibandingkan dengan bahagian anggota badan yang lain. Penggunaan petroleum jelly secara konsisten akan dapat melembabkan dan menghaluskan kulit wajah yang bermasalah.

4.    Melembabkan bibir :
Masalah bibir kering dan sering mengelupas boleh diatasi dengan petroleum jelly, petroleum jelly mampu melembabkan bibir dan bibir akan kelihatan lebih cantik.

5.    Mengecilkan pori-pori kulit :
Petroleum jelly yang mengandungi minyak zaitun mudah menyerap ke dalam kulit, minyak zaitun akan mempercepatkan lagi tindak balas petroleum jelly pada kulit untuk mendapatkan kesan lebih baik dengan lebih cepat. Lubang pori-pori yang kecil, kulit wajah akan kelihatan cantik, halus dan bersih.

6.    Membuang kulit mati:
Kulit wajah yang diselubungi oleh kulit mati akan kelihatan suram dan tidak bermaya. Petroleum jelly boleh dijadikan sebagai mask atau scrub untuk membuang kulit mati yang terdapat pada kulit wajah.

7.    Menghindari muka dari jerawat :
Kulit wajah yang bersih dan lubang pori-pori kulit yang kecil akan dapat menghindari muka dari masalah jerawat kerana Petroleum jelly juga dapat menghalang bakteria menyumbat folikel bulu.

   Mereka yang mengalami masalah kulit boleh mencuba petroleum jelly untuk mengatasi masalah anda. Penggunaan secara konsisten akan memberi kesan baik yang memuaskan. Hal ini kerana, petroleum jelly boleh digunakan untuk merawat pelbagai masalah kulit.

 

Apresiasi Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates